top of page
nabalunews

RCI Batu Puteh Dedah Kelemahan, Unsur Pengkhianatan Terhadap Negara - PM Anwar




6 Disember 2024


PUTRAJAYA : Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan kelemahan pengendalian isu berkenaan selain wujud unsur pengkhianatan terhadap negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya kelemahan pengendalian berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu tidak seharusnya berlaku kerana tindakan menyerahkan kedaulatan adalah satu pengkhianatan besar kepada negara dan sepatutnya setiap inci tanah di dalam negara ini perlu diperjuangkan secara habis-habisan.


Anwar berkata perkara yang melibatkan kedaulatan negara bukanlah isu kecil dan perlu diberi perhatian serius.


“RCI itu mendedahkan kelemahan (pengendalian isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan)…Bagi saya, apa-apa kesalahan yang terlibat dalam menyerahkan kedaulatan adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.


“Ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14 di sini pada Jumaat, lapor Bernama.


Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di sidang Dewan Rakyat minggu depan.


Beliau berkata laporan itu telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen dengan beberapa perkara telah deklasifikasikan dan dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.


Sementara itu Anwar berkata proses undang-undang harus dihormati.


“Proses undang-undang harus dihormati, jadi kita tengok proses berikutnya,” katanya.


Semalam media melaporkan dalam laporan RCI setebal 217 muka surat itu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.


Sebelum ini Azalina dalam kenyataannya memaklumkan laporan RCI terbabit sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen dan ia akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada Khamis minggu depan.

Comments


bottom of page