top of page

Reformasi Pendidikan Tinggi: Memperkasa Kualiti Graduan untuk Kemajuan Sabah

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

20 Ogos 2026


Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik usaha Kerajaan dalam meneliti dan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara, termasuk berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem universiti awam agar terus relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.


Bagi UMS, setiap pembaharuan sewajarnya dilihat sebagai peluang untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan, tadbir urus, pembangunan mahasiswa dan keupayaan universiti melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti, kompeten serta bersedia menghadapi persekitaran pekerjaan dan masyarakat yang semakin mencabar.


Dalam konteks Sabah, usaha ini amat penting kerana pembangunan negeri memerlukan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang strategik, termasuk sektor profesional, perkhidmatan awam, industri, teknologi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti.


UMS akan terus memperkukuh pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui keterlibatan industri, pembangunan kepimpinan, kemahiran digital, keusahawanan dan pendedahan kepada cabaran sebenar masyarakat.


Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang baik, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menyumbang secara berkesan selepas tamat pengajian.


Pada masa yang sama, UMS berpandangan bahawa sebarang reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara teratur, inklusif dan seimbang, mengambil kira kepentingan mahasiswa, universiti, kerajaan, industri serta masyarakat.


Pada akhirnya, ukuran kejayaan sesuatu reformasi pendidikan tinggi adalah sejauh mana ia membantu kita melahirkan graduan yang berkualiti dan memperkasa modal insan.


Seiring dengan slogan 'The Brain of Borneo', UMS komited menjadi pemacu ilmu, bakat dan inovasi yang menyokong agenda Sabah Maju Jaya, sekali gus menyumbang kepada pembinaan Sabah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page