top of page
  • nabalunews

Reformasi Perkhidmatan Awam: 12 jawatan pengurusan tertinggi alami pertukaran


4 September 2024


KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh kepimpinan sektor awam, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini mengumumkan perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.


Langkah ini diambil selaras dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan responsif.


Pengumuman ini melibatkan sembilan Ketua Setiausaha (KSU), seorang Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, dan dua Ketua Pengarah.


Pertukaran ini akan berkuat kuasa esok dan sebahagian lagi pada 23 September, suslan pengumuman pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 Ogos lalu.


Antara perubahan utama termasuklah pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali, yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.


Tempat beliau di KPKM akan diisi oleh Datuk Seri Isham Ishak, yang berpindah dari Kementerian Pertahanan. Kedua-dua perubahan ini dijadualkan bermula pada 23 September.


Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad, akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan mulai esok.


Tempat beliau di KUSKOP akan diisi oleh Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).


Perubahan lain termasuk pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Azman Mohd Yusoff, sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), menggantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.


Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azman Ibrahim, dilantik sebagai KSU KKR yang baharu.


Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi, akan berpindah ke Kementerian Pendidikan, menggantikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.


Datuk Awang Alik Jeman, yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, dilantik sebagai Ketua Setiausaha KDN, menggantikan Datuk Ruji Ubi. Manakala Datuk Awang Alik Jeman di JPM akan diisi oleh Datuk Abd Shukor Mahmood.


Selain itu, Muhammad Razman Abu Samah dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM, menggantikan Datuk Seri Shamsul Azri.


Perubahan penempatan ini diharap dapat memantapkan lagi kepimpinan dan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam dengan lebih berkesan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Comments


bottom of page