top of page

Reformasi undang-undang dan institusi antara ditawarkan manifesto GRS bagi PRN-17

  • nabalunews
  • Oct 13
  • 2 min read

Armizan (tengah) semasa sidang media di SICC, hari ini.
Armizan (tengah) semasa sidang media di SICC, hari ini.

13 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Reformasi undang-undang dan institusi akan menjadi antara tawaran manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).


Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda ini telah dirintis sejak tahun 2021-2025 dan akan diperkukuhkan bermula tahun 2026 sebagaimana komitmen dalam Manifesto GRS.


"Reformasi undang-undang dan institusi ini membuktikan bahawa GRS bukan sekadar menjanjikan perubahan, tetapi melaksanakannya dengan strategik dan berani," katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis pelancaran pelaksanaan SHMMP sempena sambutan perayaan Deepavali 2025 di SICC hari ini.


Armizan berkata, sejak GRS menjadi teras Kerajaan Negeri bermula November 2020 sehingga Oktober 2025, usaha memperkukuh reformasi undang-undang negeri terus diberikan keutamaan.


Katanya, sebanyak 51 enakmen negeri sama ada penggubalan enakmen baharu atau pindaan kepada enakmen sedia ada telah dilaksanakan.


Antaranya ialah Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 ii. Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023; Enakmen Bekalan Gas 2023; Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenal peruntukan berhubung anti lompat parti; Enakmen Bekalan Elektrik 2024; Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.


Katanya, dalam konteks reformasi institusi, antara keberhasilan yang dicapai ialah pemerkasaan peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri Sabah.


Katanya, untuk tujuan ini, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah telah melantik Peguam Besar Negeri Sabah dan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Timbalan Pendakwa Raya (Deputy Public Prosecutor).


"Pemerkasaan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan aspek penguatkuasaan dan tindakan pendakwaan.


Kelulusan ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 6 April 2023 seterusnya mewujudkan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di bawah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah," katanya.


Katanya, sejak tarikh kuat kuasa tersebut, mana-mana agensi diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebelum memulakan tindakan pendakwaan bagi apa-apa kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan, Enakmen Perlindungan Alam dan sebagainya.


"Kelulusan ini juga membolehkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memberi tumpuan khusus kepada kesalahan di bawah undang-undang negeri Sabah berbanding sebelum ini semua kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri perlu dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara," katanya.


Armizan berkata, melalui mandat baharu, GRS akan terus memperkukuhkan agenda reformasi undang-undang dan institusi. Antara strategi baharu dalam mengerakkan agenda ini adalah menerusi penubuhan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai 2025.


Katanya, SLRAC berperanan sebagai sebuah badan penasihat bebas yang diamanahkan untuk menjalankan semakan menyeluruh ke atas undang- undang negeri sedia ada serta mencadangkan pembaharuan bersasar bagi menambah baik kejelasan, keberkesanan, keadilan dan kerelevanan undang-undang.


Katanya, bagi tahun 2025/2026, majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri David Wong Dak Wah iaitu mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, dan dianggotai oleh pengamal undang-undang berpengalaman seperti Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Shakinur Ain binti Karama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page