Rehatkan Azam Baki sehingga siasatan selesai - PHRehatkan Azam Baki sehingga siasatan selesai - PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rehatkan Azam Baki sehingga siasatan selesai - PH



15 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki direhatkan sehingga siasatan ke atasnya selesai.


Majlis itu berpendapat bahawa kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Mencegah Rasuah (JKMR) dan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim semalam mengukuhkan lagi gesaan dari semua pihak termasuk agar siasatan penuh dan bebas dijalankan terhadap Azam, dan agar Azam bercuti atau dicutikan selama mana siasatan tersebut berlangsung.


Menurut PH kenyataan Rais Yatim itu mematahkan hujah Azam untuk ‘membersihkan’ nama dengan cuba memperalat institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila berkata perkhidmatannya hanya boleh ditamatkan oleh Tuanku.


“Perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi YDP Agong ke dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.


“Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan.


“Oleh itu, Majlis Setiausaha berpandangan Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau,” kata Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan, hari ini.


Kenyataan bersama itu ditandatangani Datuk Seri Saiffuddin Nasution Ismail (PKR), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (AMANAH), Anthony Loke (DAP), dan Nelson Anggang (UPKO).


Majlis itu turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu tersebut, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam.


“Kami turut mengingatkan bahawa isu utama di sini ialah tatakelola dan urustadbir SPRM, dan siasatan penuh wajar dilakukan bukan sahaja terhadap Azam tetapi semua Ketua Pesuruhjaya yang pernah berkhidmat sebelum ini.


“Oleh demikian, Perdana Menteri harus berhenti dari melindungi atau membela Azam secara langsung atau tidak, kerana Azam berkemungkinan telah bertukar dari penguatkuasa undang-undang anti-rasuah kepada seorang pelanggar undang-undang,” ujar mereka.


Mengulas lanjut, Majlis itu turut bersetuju dan menerima baik gesaan pelbagai pihak mengenai reformasi dan rombakan menyeluruh terhadap SPRM.


“Ini bertujuan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting ini, termasuk dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan bukan di bawah Perdana Menteri seperti sekarang agar ia boleh menjalankan tugasnya dengan bebas, berperlembagaan dan profesional,” jelas mereka.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page