top of page
Wartawan Nabalu News

Remaja meninggal dunia bukan disebabkan dos penggalak vaksin



14 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan tular dalam media sosial WhatsApps mengenai seorang remaja meninggal dunia disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, berdasarkan siasatan awal jabatan itu mendapati isu yang diviralkan adalah palsu.


“Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Februari 2022. Punca sebenar kematian disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa.


“Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Dr.Rose Nani berkata, siasatan juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021.


Beliau berkata, ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.


“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari lalu yang menafikan bahawa kematian anaknya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19, dan beliau juga menafikan bahawa ahli keluarga membuat penularan dalam aplikasi Whatsapps mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak.


“Pihak Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi Whatsapps oleh individu-individu tidak bertanggungjawab,” katanya.


Beliau mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi lain yang bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai tetapi juga mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga.


“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu berkenaan atas tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bersimpati dengan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.


Comments


bottom of page