- nabalunews
Ringgit catat kenaikan harian terbesar dalam sembilan tahun
6 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan kenaikan harian terbesar dalam tempoh sembilan tahun dan paras tertinggi sejak April 2023, yang disokong jangkaan kemasukan besar-besaran dana asing ke pasaran tempatan di tengah-tengah tahap keyakinan tinggi terhadap perkembangan ekonomi tempatan.
Pada jam 6 petang tadi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4240/4305 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu 4.4945/4995.
Prestasi positif dan mendadak itu menjadi kenaikan kukuh berterusan ringgit berbanding dolar AS selama 11 hari berturut-turut.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit turut dipacu faktor luaran merangkumi kelembapan dalam pasaran buruh di AS, yang mana kadar pengangguran meningkat secara beransur-ansur ke paras 4.3 peratus pada Julai berbanding 3.8 peratus pada Mac tahun ini.
"Sebelum itu, data sentimen perniagaan iaitu ISM Index bagi sektor pembuatan merosot ke paras 46.8 mata pada Julai yang lalu dan telah berlegar di bawah paras 50 mata untuk tempoh empat bulan berturut-turut.
"Disebabkan prestasi ekonomi AS yang dilihat semakin lemah, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka memulakan fasa pengurangan kadar faedah pada September nanti. Sekiranya ini berlaku maka perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dan situasi menandakan bahawa prospek pulangan pelaburan di Malaysia dijangka lebih baik terutamanya jika Fed mengurangkan kadar faedah dengan lebih agresif lagi," katanya kepada Berita Harian.
Comments