nabalunews
RM10 JUTA NAIK TARAF JALAN KAMPUNG BUNGA RAYA, KENINGAU - BUNG MOKTAR
13 Mac 2021
KENINGAU: Kira-kira RM10 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf jalan sejauh 2.2 kilometer yang menjadi laluan utama penduduk Kampung Bunga raya dekat sini, termasuk membina tiga jambatan kecil, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata projek tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat demi kemudahan masyarakat, khususnya pelajar sekolah.
Kerajaan juga mengenal pasti beberapa batang jalan lain yang perlu dinaik taraf termasuk diturap, namun memerlukan kajian lanjut berikutan ada masalah lain seperti di Patikang Tengah yang sering dilanda banjir, katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa batang jalan raya yang perlu dinaik taraf di daerah ini hari ini.
Katanya Jabatan Kerja Raya akan bekerjasama dengan jabatan lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mengatasi masalah tersebut sebelum projek naik taraf boleh dilaksanakan.
“Kita tidak mahu masalah jalan raya selesai tetapi ada lagi masalah lain seperti dinaiki banjir…kita mahu selesaikan masalah itu dengan serentak…oleh itu saya mahu kajian dibuat sebelum proses membuat tender projek dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar berkata Jabatan Air Sabah telah diarahkan membeli empat pam air tambahan untuk mengatasi masalah air di Keningau, namun perolehan pam tersebut dijangka mengambil masa kerana perlu ditempah di luar negara. - Bernama
Comments