RM100,000 dana bantuan untuk Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM100,000 dana bantuan untuk Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang

Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

31 December2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad untuk meningkatkan kemudahan pelancongan kampung itu.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menambahbaik kemudahan pelancongan sedia ada di kampung itu bagi memberikan keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada para pelancong.


“Dalam Mesyuarat Agung Tahunan koperasi ini, mereka telah memohon sejumlah dana yang diperlukan untuk menambahbaik beberapa kemudahan pelancongan di kampung ini. Oleh itu kementerian melalui SKM telah bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000.


“Pada masa yang sama sebagai wakil rakyat Kadamaian, saya juga akan menggunakan peruntukan Adun untuk membaikpulih atau membina semula beberapa kemudahan yang rosak akibat usang dan bencana alam.


“Kemudahan awam itu seperti jambatan gantung iaitu kegunaan utama penduduk dan para petani kampung ini, pembaikan astaka sekolah yang telah usang dan membina konkrit sebahagian jalan Kampung Lingkubang menuju ke jalan besar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad kali ke-4, di sini, hari ini.


Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Hj. Saidin, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad Danial Sagun dan anggota-anggota lembaga koperasi.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap semua pembangunan projek kecil-kecilan di kampung itu dapat dilaksanakan pada tahun depan.


“Saya sendiri akan memantau pelaksanaan kemudahan-kemudahan itu bagi memastikan ia dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

bottom of page