RM21.5 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan klinik kesihatan di seluruh Sabah
- nabalunews
- Oct 13, 2024
- 1 min read

13 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia berkata sebanyak RM21.5 juta telah diperuntukan untuk tahun ini bagi penambahbaikan dan pembangunan klinik kesihatan di seluruh Sabah.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata projek itu termasuk merobohkan dan membina semula 21 klinik, serta membaik pulih dan menaik taraf 56 klinik daif.
“Klinik-klinik daif yang dinaik taraf itu membabitkan penggantian bumbung, pendawaian serta pertambahan struktur-struktur yang khusus,” katanya selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2024 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, pada Sabtu.
Beliau berkata, projek bina baharu klinik-klinik desa yang daif itu memberi ruang kerja yang lebih besar kepada petugas-petugas kesihatan dan juga klien KKM.
“Sebagai contoh dalam lawatan ke Klinik Desa Takuli, Beaufort yang asalnya klinik kayu yang berkeluasan 92.0 meter persegi dan apabila diroboh dan dibina baharu, strukturnya lebih besar dengan keluasan 241.5 meter persegi. Ia memuatkan kuarters bagi petugas-petugas kesihatan yang berstatus bujang, maksudnya kuarters itu dibina di dalam kawasan klinik,” katanya.
Lukanisman berkata, masih terdapat kira-kira 160 klinik yang berstruktur kayu di Sabah yang perlu dinaik taraf secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada petugas kesihatan dan juga klien-klien KKM.















Comments