top of page

RM22.3 juta diperuntuk perkasa pekebun kecil RISDA Sabah

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

8 Februari 2026


TENOM: Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah sepanjang 2026 menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka secara menyeluruh.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, selain peruntukan peringkat negeri, RISDA Daerah Keningau turut menerima peruntukan sebanyak RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.


“Peruntukan ini melibatkan bantuan bagi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah bagi Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.


Menurutnya, program itu merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi RISDA bagi memastikan komuniti desa, khususnya pekebun kecil, menerima maklumat terkini untuk meningkatkan pulangan, sekali gus menyokong pembangunan luar bandar yang mampan.


Selain itu, katanya, ia juga menjadi platform berimpak tinggi untuk mengangkat martabat komuniti desa ke tahap yang lebih membanggakan, selari dengan Aspirasi Desa MADANI.


“Komuniti pekebun kecil perlu terus diberi galakan dan sokongan melalui inisiatif baharu bagi mewujudkan peluang meningkatkan pendapatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.


“Keadaan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar, justeru usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi tumpuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil,” ujarnya.


Mengulas cabaran sektor getah, Jamawi berkata, Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang atau sedia ditoreh di Sabah kini tidak lagi diusahakan.


Katanya, keadaan itu menyumbang kepada tren penurunan pengeluaran getah asli negara yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun kecil, malah memberi kesan kepada sumbangan sektor komoditi getah terhadap ekonomi negara.


“Sehubungan itu, KKDW dan RISDA terus menjadikan usaha meningkatkan hasil dan produktiviti kebun sebagai agenda penting bagi memastikan pekebun kecil kekal berdaya saing,” katanya.


Jamawi turut memaklumkan RISDA Sabah menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta khusus bagi meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil di negeri ini.


“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Pemulihan Getah Terbiar, Program Pengeluaran Hasil Getah Matang, Insentif Pengeluaran Hasil Getah (Lateks) serta penyediaan prasarana ladang,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berharap Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) terus menjalinkan kerjasama erat dengan RISDA, di samping menggesa pekebun kecil untuk turut bekerjasama dengan kedua-dua agensi berkenaan bagi memastikan kebun getah diusahakan secara lebih produktif.


Turut hadir, Pengarah RISDA Negeri Sabah, Nor Afzami Isa; Pengarah KEMAS, Ahmad Fahhrul Azman Muhammad Radzi; Pengarah GIATMARA Negeri Sabah, Ts. Azizzudin A. Aziz; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas; wakil Pegawai Daerah Tenom, Lusip Pitong serta pemimpin setempat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page