top of page

RM76.29 juta BAP diperuntuk kepada 508,631 murid di Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

16 Januari 2026


KOTA KINABALU: Sebanyak RM76.29 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperuntukkan kepada Sabah tahun ini melibatkan 508,631 murid di 1,298 buah sekolah di seluruh negeri.


Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada jumlah RM794.25 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan di peringkat nasional.


Menurutnya, BAP merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan murid dan memperkukuh asas pendidikan sebagai pelaburan masa depan negara.

"Bantuan ini amat bermakna dalam meringankan beban perbelanjaan persekolahan ibu bapa, khususnya pada awal tahun.


"Ini adalah satu pelaburan besar demi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada pendidikan," katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Jabatan Pendidikan Sabah Tahun 2026, di sini hari ini.


Beliau berkata, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi pemangkin semangat kepada murid untuk terus cemerlang dalam pendidikan, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti kepada agama, bangsa dan negara.


Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan murid agar memanfaatkan bantuan berkenaan dengan sebaiknya, selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan Generasi MADANI yang berilmu serta berdaya saing.


"Saya juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran dibenarkan daripada wang BAP ini, dan perkara ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak.


“Pendidikan adalah tanggungjawab bersama, justeru sinergi semua pihak penting bagi memastikan agenda pendidikan negeri dan negara terus diperkasakan,” katanya.


James turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta seluruh warga pendidik di atas komitmen menjayakan pengagihan bantuan tersebut secara teratur.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page