top of page

RMK13 noktahkan jurang pembangunan Sabah, lonjak peluang ekonomi – Arthur

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

1 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membawa harapan baharu kepada rakyat Sabah dalam usaha menoktahkan jurang pembangunan antara wilayah serta melonjakkan peluang ekonomi negeri ini.


Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelan 5 tahun itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh negara.


“Sebagai parti yang mewakili suara rakyat luar bandar Sabah, PBRS menyambut baik tekad kerajaan untuk memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah.


“Ia termasuk penekanan khas terhadap pembangunan luar bandar, FELDA, FELCRA serta Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Menurutnya, tumpuan terhadap pemodenan sektor pertanian dalam RMK13 menerusi mekanisasi, automasi dan penggunaan teknologi pintar, amat bertepatan memandangkan sektor itu merupakan nadi kehidupan majoriti penduduk luar bandar di Sabah.


“Pembangunan agroindustri bernilai tinggi, pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh, serta peluasan pasaran eksport akan dapat memperkasa pendapatan pekebun kecil dan peladang di Sabah,” katanya.


Jelasnya, peruntukan lebih RM227 bilion untuk sektor ekonomi termasuk pertanian akan menjadi pemacu utama dalam menjayakan transformasi agromakanan negara, antara lain pembangunan hab perikanan bersepadu, hab ekonomi biru di Sabah, serta program pengukuhan pasar tamu.


Arthur turut menyambut baik tumpuan khas terhadap Sabah menerusi inisiatif pembangunan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, projek naik taraf kapasiti depoh pengadunan biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu, perancangan infrastruktur Lebuhraya Pan Borneo dan pengukuhan bekalan tenaga melalui projek Jaminan Bekalan Tenaga Sabah.


“Kesemua inisiatif ini memberi kesan langsung kepada pembangunan luar bandar dan aktiviti ekonomi hiliran yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sabah,” katanya.


Dalam pada itu, beliau optimis penekanan terhadap penyertaan belia luar bandar melalui program TVET dan Skim Pembiayaan TVET Madani akan mampu melahirkan generasi pelapis agropreneur yang berkemahiran dan bersedia meneroka peluang dalam sektor pertanian moden


Usaha ini, katanya sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencipta 1.2 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2030, termasuk dalam ekonomi digital dan pertanian pintar.


“PBRS berdiri teguh menyokong agenda pembangunan inklusif yang dirancang dalam RMK13, dan menggesa seluruh rakyat Sabah agar mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif yang digariskan dan memainkan peranan aktif sebagai rakan pembangunan.


“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus berganding bahu dalam memastikan perancangan ini diterjemah menjadi hasil yang nyata untuk rakyat Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page