top of page

Robotitans T1203 Cetus Sejarah, SJKC Chung Hwa Kota Belud Juara NRC Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 20 Ogos – Pasukan Robotik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Kota Belud (CHKB) muncul sebagai juara dalam Kategori Robomission Rookie Primary pada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Wilayah Sabah Tahun 2026 yang berlangsung di Semporna baru-baru ini.


Kejayaan itu membuktikan potensi besar murid sekolah rendah di negeri ini dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan usaha memperkasa pendidikan robotik di peringkat kebangsaan.



Pasukan Robotitans (T1203) yang mencipta kemenangan itu terdiri daripada tiga murid berbakat, iaitu Jayden Goh Ming You, Oliver Vun Ian dan Alexavier Vun Ezhe. Mereka dibimbing oleh Cikgu Brian Ginsos serta ditemani Guru Besar, Chin Nyok Yen @ Evolyn selaku guru pengiring.


Menurut Evolyn, pasukannya menunjukkan kemahiran teknikal tinggi, kerjasama mantap dan ketahanan mental sepanjang pertandingan yang mencabar itu. Persediaan rapi selama beberapa minggu sebelum pertandingan membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengatasi pasukan-pasukan lain daripada pelbagai sekolah rendah di seluruh Sabah.



Tambah beliau, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, malah menjadi bukti bahawa usaha dan komitmen berterusan dalam STEM mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran kritis. Ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk memperkasa pendidikan STEM di semua peringkat, sekaligus menyediakan modal insan kompeten bagi Revolusi Industri 4.0.

Pencapaian cemerlang ini pasti akan menjadi inspirasi kepada murid-murid lain di CHKB untuk terus cemerlang dalam bidang kokurikulum berasaskan sains dan teknologi.


"Semoga kejayaan ini menjadi suntikan semangat buat kita semua untuk tidak menyerah kalah, terus memandang ke hadapan dan percaya bahawa setiap usaha pasti membuahkan hasil. Tahniah sekali lagi buat Pasukan Robotitans CHKB, teruskan momentum kecemerlangan dan bawa nama Sabah ke peringkat kebangsaan pada masa akan datang."katanya.


Pihak pengurusan sekolah CHKB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Evolyn selaku Guru Besar kerana memberi ruang dan peluang kepada pasukan sekolah menimba pengalaman berharga. Penghargaan juga ditujukan kepada barisan penolong kanan, rakan guru, seluruh warga CHKB serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diterajui Gui Siau Len atas sokongan dan sumbangan Kit Rasmi Pertandingan. Para ibu bapa yang memberikan sokongan penuh turut menerima penghargaan.


Terdahulu, Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) merupakan platform utama yang dianjurkan di peringkat negeri, wilayah dan kebangsaan bagi mencungkil bakat muda dalam bidang robotik dan inovasi teknologi, dengan penyertaan daripada pelbagai sekolah seluruh Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page