top of page

RPTM 2026–2035: Menangani Keciciran dan Memperluas Peluang Belajar di Wilayah Sabah – NC UMS

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

25 Januari 2026


KOTA KINABALU: Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dilihat sebagai pelan strategik penting dalam memperkukuh pendidikan tinggi negara, khususnya bagi menangani isu keciciran pelajar dan memperluas peluang pembelajaran di wilayah Sabah.


Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, RPTM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dirangka sebagai dokumen dasar yang bersifat dinamik serta digerakkan melalui kerjasama pelbagai pihak berteraskan nilai kemanusiaan dan pembinaan negara.


Menurut beliau, pendekatan whole-of-nation yang menjadi asas RPTM memberi kesan langsung kepada Sabah, memandangkan negeri itu berdepan cabaran geografi yang luas, jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital, kos sara hidup yang meningkat serta keperluan sebahagian pelajar untuk bekerja lebih awal. Faktor-faktor ini menyebabkan sebahagian pelajar tercicir atau tidak dapat meneruskan pengajian walaupun telah menerima tawaran.


“Keadaan ini menuntut sistem pendidikan tinggi di Sabah dirangka dengan lebih fleksibel dan inklusif, selari dengan realiti setempat supaya peluang pendidikan dapat dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, penekanan terhadap kemenjadian siswa dalam RPTM amat penting kerana kejayaan pendidikan tinggi perlu diukur melalui keupayaan mengekalkan pelajar sehingga tamat pengajian serta memastikan graduan mempunyai daya saing dalam pasaran kerja.


Bagi Sabah, katanya, usaha itu memerlukan sokongan menyeluruh melibatkan aspek akademik, kewangan, psikososial dan kebajikan bagi mengurangkan risiko keciciran, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman.


Pengenalan Academic Bank Credits (ABC) turut dikenal pasti sebagai antara mekanisme penting untuk menangani isu keciciran. Melalui fleksibiliti pembelajaran merentas institusi, mod dan tempoh pengajian, pelajar dibenarkan menangguhkan pengajian sementara tanpa kehilangan laluan akademik. Pendekatan ini memberi ruang kepada pelajar Sabah menyeimbangkan komitmen keluarga, pekerjaan dan pembelajaran.


Dalam pada itu, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pendidikan inklusif terus diperkukuh apabila Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian yuran pengajian kepada kira-kira 3,000 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti, selain peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar.


Menurut Dr. Kasim, langkah bersasar ini amat signifikan bagi Sabah bagi memastikan kekangan ekonomi tidak terus menjadi punca keciciran dalam kalangan pelajar berpotensi.


Beliau turut menekankan kepentingan sinergi antara Politeknik, Kolej Komuniti (POLYCC) dan UMS dalam memperluas peluang pembelajaran melalui pembinaan laluan pendidikan berperingkat, termasuk pemindahan kredit, program peralihan dan pelaksanaan ABC yang mampu mengurangkan keciciran pelajar.


Seiring aspirasi UMS sebagai ‘The BRAIN of Borneo’, universiti itu berperanan sebagai pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan di peringkat wilayah melalui pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja serta inisiatif peningkatan dan pemantapan kemahiran yang selari dengan sektor utama di Sabah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.


“UMS komited menjayakan aspirasi RPTM 2026–2035 dengan pendekatan berteras Sabah agar tiada anak Sabah, termasuk golongan OKU dan keluarga miskin tegar, terpinggir daripada peluang pendidikan dan pembangunan diri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page