Rudey, mahasiswa UPSI miliki kebun sawit sendiri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rudey, mahasiswa UPSI miliki kebun sawit sendiri


Rudey mahasiswa UPSI

13 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Persaingan dan kesukaran graduan mendapatkan pekerjaan menguatkan tekad kepada golongan mahasiswa untuk mencari alternatif sementara menunggu peluang pekerjaan yang diimpi-impikan.


Bagi anak jati Kampung Salawan Tumalasak Pensiangan Rudey Asok, 25, bidang pertanian adalah alternatif atau peluang pekerjaan yang boleh diceburi selepas menamatkan pengajian.


Ketika ditanya mengapa memilih bidang pertanian sedangkan beliau mempunyai peluang cerah mendapatkan pekerjaan yang lebih baik suatu hari nanti.


Anak kelima daripada tujuh orang adik beradik itu berkata: “Saya tidak tahu bila dapat peluang pekerjaan setelah tamat pengajian nanti. Tetapi, dengan adanya kebun kelapa sawit maka, saya tidak perlu bimbang walaupun lambat dapat peluang pekerjaan”.



“Perjalanan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Bagi saya bidang pertanian juga menjanjikan pulangan lumayan sekiranya diushakan dengan baik.


“Saya berharap usaha saya ini dipermudahkan demi menggapai cita-cita yang sudah terbuku di hati,” katanya kepada Nabalu News, baru-baru ini.


Walaupun, Rudey bergelar sebagai mahasiswa namun apa yang membanggakan setiap waktu cuti semester dari pengajiannya, beliau rajin mengusahakan kebunnya sehingga pada tahun ini, Rudey mempunyai kebun kelapa sawit sendiri iaitu ‘Kebun Sawit Rudey Asok’ di Kampung Tonomon Sepulut Pensiangan, Nabawan.


Kebun sawit seluas 14 ekar mula diusahakan pada tahun 2021 dan dijangka akan mengeluarkan hasil selepas tiga hingga empat tahun ditanam.


Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak akan menamatkan pengajian pada tahun 2023.


Bidang pertanian janjikan masa depan yang cerah.

Pada tahun 2021, beliau mengambil peluang mengikuti program pertukaran pelajar ke Universiti Yogyakarta Indonesia.


Bukan itu sahaja, Rudey juga pernah memegang tampuk kepimpinan sebagai Wakil Kerusi Etnik Sabah di UPSI Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti itu.


Mengikuti perkembangan anak muda ini dalam perjuangannya, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah dilaluinya, namun pantang menyerah selagi nyawa dikandung badan.


Anak muda ini juga dikenali dengan sifatnya yang sentiasa mempersiapkan dirinya demi masa depan yang masih jauh dan belum terlihat di hadapan.


Rudey berkata, memandangkan hanya asa cuti semester sahaja dia berpeluang balik kampung, dia meminta bantuan daripada ibu bapa, adik beradik dan saudara-mara untuk mengusahakan tanaman sawitnya.


“Saya upah mereka untuk bekerja di kebun saya secara pajak. Saya menggunakan wang simpanan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) saya sewaktu saya kerja sebagai Cleaner di syarikat Schlumberger Labuan, tukang kopi di restoren Labuan dan renjer hutan di syarikat Sepulut Forest Development Sdn. Bhd,” katanya.


Katanya lagi, duit pemberian ibu dan bapa juga digunakannya untuk berkebun sambil belajar.


“Saya berharap agar anak-anak muda terutama sahabat graduan sentiasa berusaha walau apapun cabaran dan halangan. Ingat cabaran dan halangan itu penting untuk kita hadapi kerana ia akan mematangkan fikiran kita,” katanya.

bottom of page