Rumah SMJ untuk bantu rakyat
- nabalunews
- Oct 27, 2024
- 1 min read

27 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Pembinaan rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Sabah adalah satu usaha bagi membantu rakyat memperoleh kediaman yang lebih selesa.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, pembinaan rumah SMJ itu juga adalah antara usaha kerajaan negeri untuk membasmi miskin tegar.
Beliau berkata isu perumahan sememangnya satu isu yang menjadi perhatian umum.
"Pembinaan Rumah SMJ adalah usaha oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah perumahan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40", tambahnya.
Jelasnya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu adalah sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan Sabah dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.
Japlin berkata demikian selepas penyerahan kunci Rumah SMJ di Kampung Pirasan dan beberapa buah kampung di Kampung Kulambai Dundau, Kampung Ambong, Lantiggi, Kulambai, Kulambai Kupang, Kuala Abai dan Kampung Suang Pungur di Kota Belud.
Baru-baru lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan pembinaan 3,000 buah rumah melalui Program Rumah Mesra SMJ tahun depan melibatkan kos RM250 juta di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
"Rumah SMJ ini dilaksanakan bagi membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan memerlukan rumah kediaman," katanya.
Comments