RUU Akta Anti Lompat Parti: Pindaan Perlembagaan sedia ada lebih praktikal
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RUU Akta Anti Lompat Parti: Pindaan Perlembagaan sedia ada lebih praktikal



14 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pindaan Perlembagaan sedia ada bagi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti lebih praktikal berbanding pewujudan sebuah akta perundangan baharu.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, tidak ada negara di dunia ini yang mempunyai akta berasingan untuk menangani lompat parti.


“Lebih 40 negara yang terlibat mempunyai undang-undang seperti ini menunjukkan bahawa tidak ada akta yang digubal, melainkan membuat pindaan dalam perlembagaan yang sedia ada sahaja.


“Dengan itu saya mencadangkan supaya Undang-undang Anti Lompat ini diberi tumpuan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang tanpa melibatkan pembuatan akta baharu.


“Saya menyokong penuh pada cadangan asal iaitu pindaan-pindaan seperti pada artikel perkara 10 (3), Perkara 48 (6) dan juga perkara 160, kalau perlu ada takrifan dan sebagainya dan juga pada jadual 8,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memaklumkan bahawa terdapat juga cadangan mewujudkan akta berasingan seperti Recall Election.


“Itu satu cadangan yang menarik, walau bagaimanapun, saya berpendapat kita belum bersedia ke arah itu kerana ia melibatkan banyak pindaan undang-undang yang lain.


“Pada masa yang sama, ia juga melibatkan penggunaan banyak sumber kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyebabkan kepada peningkatan kos kewangan dan juga mungkin kakitangan.


“Untuk itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada merupakan satu langkah yang praktikal buat masa ini,” katanya.


Madius merupakan salah seorang daripada 11 Ahli parlimen yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas RUU Anti Lompat pada Sidang Khas Parlimen Dewan Rakyat baru-baru ini.


Jawatankuasa tersebut akan mengadakan mesyuarat esok (15 April).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page