RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen Februari depan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen Februari depan



20 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada sesi Parlimen Februari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Wan Junaidi berkata, pembentangan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu ianya dipercepatkan.


“Mesyuarat ini telah menetapkan supaya RUU Anti Lompat Parti dimuktamadkan dan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 Tahun 2022 yang akan bermula pada 28 Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata, sebuah Jawatankuasa Teknikal berunsur dwipartisan telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi Dan Kestabilan Politik untuk merangka RUU Anti Lompat Parti itu.


“Keanggotaan Jawatankuasa Teknikal ini terdiri daripada empat orang wakil Kerajaan dan empat orang wakil Pakatan Harapan.


“Jawatankuasa Teknikal ini akan bertemu pada minggu hadapan untuk memperincikan perkara dasar dan kerangka perundangan yang dicadangkan,” katanya.


Menurut Wan Junaidi persetujuan yang dicapai itu merupakan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan perkara-perkara yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 dilaksanakan seperti yang ditetapkan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page