top of page
Wartawan Nabalu News

RUU Anti Lompat Parti mungkin akan dibentangkan dalam sidang khas


17 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti mungkin akan dibentangkan dalam sidang khas jika tidak diadakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula pada 22 Mei ini.


Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya berkata, kerajaan akan membentangkan RUU tersebut pada masa yang akan ditentukan kemudian.


“RUU pindaan Perlembagaan ini mungkin tidak cukup jika diadakan sehari jadi, kalau ada RUU Anti Lompat mungkin kita akan adakan sidang khas sekiranya tidak diadakan pada sidang kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di DUN Sabah pada Selasa.


Sebelum ini, Presiden Parti Warisan (Warisan), Mohd. Shafie berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak mahu membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan DUN kali ini maka, beliau akan membentangkan usul persendirian.


Menurut Kadzim, beliau telah melihat usul persendirian yang telah dihantar oleh Ketua Pembangkang DUN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal namun, perkara itu diserahkan kepada kerajaan.


“Kerajaan akan bentangkan RUU Anti Lompat Parti jadi, memandangkan kerajaan akan bentang jadi, saya tidak lihat keperluan untuk usul persendirian dibentangkan (kali ini),” katanya.


Dalam pada itu, Kadzim berkata, pada persidangan DUN yang akan berlangsung 22 hingga 25 Mei ini, tiga RUU akan dibentangkan yang membabitkan pindaan kecil dan tidak mengambil masa yang panjang.


Menurut beliau, tiada perubahan pada etika pakaian Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari segi pemakaian tali leher.



Comments


bottom of page