RUU Anti Lompat Parti tidak wajar ditangguh: Madius
23 Mac 2022
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dibentangkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung seperti yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Undang-Undang Anti Lompat Parti berkata, sikap dolak-dalik atau 'flip flop' tidak akan membantu merealisasikan usaha mewujudkan sebuah akta bagi menghapuskan budaya lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Oleh itu, adalah wajar sidang Parlimen semasa disambung untuk tujuan pembahasan dan diluluskan. Kita boleh melakukan penambahbaikan selepas dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa RUU Anti Lompat Parti akan ditangguhkan dan tidak akan dibentangkan semasa sidang yang sedang berlangsung.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lalu dan juga semangat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri.
“Secara peribadi saya terkejut dengan makluman dan laporan media bahawa RUU ini akan ditangguhkan. Keputusan sepihak untuk menangguhkan pembentangan menimbulkan pelbagai persoalan dan kerisauan nasib RUU selepas ini.
“Mengapa keputusan penangguhan ini dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh?
“Betulkah keseluruhan Kabinet tidak bersetuju dengan kandungan RUU ini? Apakah Kabinet kepimpinan Perdana Menteri tidak bersetuju dari awal lagi atau membuat pusingan baru-baru ini? Peruntukan mana yang menjadi halangan kepada Kabinet daripada meneruskan pembentangan di Parlimen pada sidang semasa?,” tanya Madius.
Sehubungan itu katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Perdana Menteri perlu memberikan jawapan keputusan penangguhan pembentangan RUU ini.
“Jika tidak, saya bimbang kepercayaan rakyat ke atas Kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan juga ke atas PH, yang menandatangani MoU ini, akan tergugat dan terjejas. Rakyat akan menganggap Kerajaan semasa 'flip flop' dalam perkara ini.
“Sebagai pihak yang menandatangani MoU dengan Perdana Menteri, kami, PH, bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjawab isu ini. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan meneruskan keputusan membentangkan RUU ini pada sidang semasa,” katanya.
Komentáře