top of page

Sabah berada di landasan pembangunan berterusan - Hajiji

  • Wartawan Nabalu News
  • Apr 22, 2023
  • 1 min read

22 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah kini berada di landasan yang betul untuk mencapai pembangunan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


Beliau berkata, agenda SMJ melalui teras-teras utama akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah terutama di luar bandar.


"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita sentiasa komited dalam memastikan segala perancangan, dasar dan program berjalan dengan lancar," katanya dalam rakaman perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) kelmarin.


Beliau juga menyanjung kepelbagaian budaya dan kepercayaan di Sabah yang membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.


"Keamanan dan keharmonian masyarakat kita telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Dengan usaha ini kita akan menghakiskan segala halangan yang boleh memisahkan antara kita sebagai bangsa Malaysia," tegasnya.


Hajiji berkata, Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang ditunggu umat Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mulia dan bermulanya 1 Syawal, sebagai tanda kemenangan dalam menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.


Beliau berkata, dalam menyambut ketibaan Syawal yang penuh baraqah, marilah kita merenung kembali tahun sebelum ini dan berazam untuk melakukan yang lebih baik lagi demi kejayaan masa hadapan.


"Saat ini juga adalah masanya untuk kita mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai," katanya.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan, petugas barisan hadapan, pegawai penguatkuasa undang-undang dan petugas kesihatan yang bekerja tanpa jemu untuk melindungi rakyat dan negara.


Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page