SABAH CATAT 271 KES POSITIF BAHARU HARI INI
11 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 271 kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,313 kes. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes baharu itu 145 kes daripada saringan kontak rapat, saringan kluster (69 kes), saringan bergejala (32 kes), saringan bersasar (18 kes) dan tujuh kes saringan lain-lain kes. Beliau berkata, daerah yang mendominasi peningkatan kes hari ini ialah Beaufort dan Kota Kinabalu yang menyumbang 48.3 peratus daripada jumlah kes negeri ini. “Beaufort mencatatkan kes tertinggi hari ini sebanyak 70 kes iaitu 10 kes daripada saringan Kuster Lumadan, saringan kontak rapat (51 kes) dsn sembilan kes daripada saringan bergejala. “Manakala Kota Kinabalu pula mencatatkan 61 kes iaitu 18 kes daripada empat kluster (Tembok, Agora Borneo, Jalan Kayu Madang, KKIP Empat Timur), selebihnya daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala, saringan bersasar dan saringan lain-lain kes,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini. Masidi berkata, sebanyak 12 daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Tongod, Kota Marudu, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan. “Setakat ini, daerah Zon Hijau hanya tinggal dua iaitu Telupid dan Beluran,” katanya. Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh sebanyak 245 menjadikan jumlah kumulatif 69,351 orang. “Seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 393 orang di hospital, 1,501 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 17 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. “Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 52 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya
Comments