top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah catat dua kes kelesuan haba akibat cuaca panas


14 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Mac, dua kes kelesuan haba telah direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna, mengesahkan bahawa kedua-dua kes tersebut dilaporkan di daerah Beaufort pada Minggu Epidemiologi Empat dan 11.


"Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika menebang pokok. Beliau telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 22 Januari 2024 dan dibenarkan pulang pada hari yang sama. Beliau kini telah sembuh," katanya lapor Sinar Harian.


"Kes kedua pula melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika mengikuti pertandingan bola sepak. Pelajar tersebut telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 9 Mac 2024 dan telah dirawat serta dibenarkan pulang pada hari yang sama. Beliau kini telah sembuh," tambahnya.


Datuk Dr Asits Sanna juga memaklumkan bahawa JKNS tidak menerima sebarang kes kekejangan haba dan strok haba dalam tempoh yang sama.


"Tiada kes patukan ular yang dilaporkan sepanjang pemantauan cuaca panas di negeri Sabah sehingga 13 Mac 2024," katanya.

Comments


bottom of page