Sabah Catat Lebih 2.4 Juta Pelancong Sembilan Bulan Pertama Tahun Ini
- nabalunews
- Nov 21, 2024
- 1 min read

21 November 2024
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 2.41 juta kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 28.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan telah menjana perbelanjaan pelancongan mencecah RM5.62 billion.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata 39 peratus daripada 2.41 juta pelancong yang berkunjung ke Sabah
adalah pelancong dari China, yang tertinggi berbanding negara lain.
"Peningkatan ketara ini didorong jumlah penerbangan pada tahun ini dengan 98 peratus ketibaan adalah melalui pengangkutan udara. Sebanyak 377 penerbangan domestik dengan 66,546 kapasiti tempat duduk seminggu yang menghubungkan Sabah kepada beberapa negeri di Malaysia.
“Manakala bagi sektor antarabangsa, 17 destinasi dengan jumlah penerbangan seminggu sebanyak 126 dengan kapasiti 23,394 tempat duduk,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Sabah 2025) bagi kementeriannya di sini pada Rabu.
Beliau berkata syarikat penerbangan AirAsia merupakan syarikat penerbangan utama yang menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa dengan menghubungkan Sabah kepada 15 destinasi.
Christina berkata Sabah juga bakal menerima empat lagi perkhidmatan laluan terus antarabangsa pada bulan ini dan bulan depan.
Beliau berkata sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah melancarkan kempen “Explore Sabah” untuk dilaksanakan sepanjang tahun depan.
"Kempen ini yang dilancarkan semasa penyertaan Sabah di acara pelancongan berprestij dunia iaitu World Travel Mart di London pada 4 hingga 6 November lalu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan Sabah melalui tiga tema utama iaitu Kebudayaan, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi,” katanya.
Comments