Sabah catat penurunan 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

15 Jun 2026
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 8,665 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan pada tahun 2025 berbanding 9,207 orang pada tahun 2024.

Menurutnya, pencapaian itu meletakkan Sabah sebagai negeri terbaik dalam negara dengan kadar 230 penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun lalu.
“Keputusan ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Bagi memastikan momentum itu dapat dikekalkan ke arah mencapai sasaran Dadah Terkawal 2030, mesyuarat berkenaan meluluskan dua kertas pertimbangan iaitu Perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) bagi sektor awam Negeri Sabah serta Pemerkasaan Skuad Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan.
Ruslin berkata, kedua-dua inisiatif itu merupakan langkah strategik baharu untuk memperkukuh daya tahan komuniti serta memperluaskan kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan terhadap pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) yang kini memberi tumpuan kepada dua lokasi rintis iaitu Kampung Likas di Kota Kinabalu dan Kampung Benoni di Papar.
Katanya, inisiatif intervensi komuniti itu turut diperkukuhkan menerusi Program Skuad Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah yang membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti setempat.
Selain itu, AADK turut giat melaksanakan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di seluruh negara yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 16 Februari lalu.
“Program ini menggunakan pendekatan dua hala, iaitu ‘top-down’ dan ‘bottom-up’ bagi memobilisasikan komuniti secara menyeluruh serta membina benteng pertahanan sosial bermula dari institusi keluarga untuk mengurangkan kebergantungan dan permintaan terhadap dadah atau bahan,” katanya.
Beliau yakin komitmen berterusan yang ditunjukkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah mampu menghasilkan impak positif dan berkesan dalam usaha memastikan Sabah serta Malaysia bebas daripada ancaman dadah yang disifatkan sebagai musuh nombor satu negara.















Comments