Sabah Cemerlang Lahirkan Pelajar Terbaik STPM Kebangsaan Dua Tahun Berturut-Turut
- nabalunews
- 5 days ago
- 2 min read

18 Jun 2026
KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat kejayaan membanggakan apabila melahirkan Pelajar Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi dua tahun berturut-turut.
Kejayaan itu adalah melalui Ahmad Mursyied Umair Darwis dari Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi aliran Sains Sosial.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan pelajar Sabah untuk terus bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan.

"Sabah berjaya melahirkan pelajar terbaik kebangsaan bagi dua tahun berturut-turut dan saya berharap kejayaan ini dapat menyuntik semangat kepada calon STPM 2026.
"Saya juga berharap lebih ramai pelajar memilih STPM sebagai laluan perdana untuk menyambung pengajian ke peringkat prauniversiti," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, tiga Pusat Tingkatan Enam di Sabah turut dipilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 iaitu SMK Kinabutan, Tawau, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau.
"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Raisin berkata pencapaian keseluruhan STPM Sabah turut menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.78 berbanding 2.77 tahun sebelumnya.
Beliau menambah, seramai 158 calon memperoleh PNGK 4.00 meningkat 12 orang berbanding tahun 2024, manakala bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 21 orang berbanding tujuh orang sebelum ini.
Daripada 8,296 calon yang mendaftar, seramai 7,632 calon hadir menduduki peperiksaan dan 7,629 calon atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, JPN Sabah, Indang Kasi Saibin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN Sabah Nurani Fauziah Derin./Penerangan-















Comments