Sabah dan Labuan merekodkan kes Omicron pertamaSabah dan Labuan merekodkan kes Omicron pertama
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah dan Labuan merekodkan kes Omicron pertama



5 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah dan Labuan merekodkan kes Covid-19 melibatkan varian Omicron pertama dari Arab Saudi.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perkara tersebut dalam kenyataan media kelmarin mengenai perkembangan semasa varian Omicron di Malaysia.


Menurut beliau, kes pertama varian Omicron di Sabah tiba dalam negara pada 18 Disember lalu selepas menunaikan umrah di Arab Saudi dan telah diletakkan dalam Kategori 2 iaitu bergejala ringan.


Manakala kes di Labuan juga tiba dari Arab Saudi pada 21 Disember lalu dan diletakkan dalam Kategori 1 iaitu tidak bergejala atau asymtomic.


Kedua-dua kes tersebut adalah daripada 58 kes positif covid-19 varian Omicron yang dilaporkan kelmarin, menjadikan jumlah jangkitan varian berkenaan di negara ini kini sebanyak 122 kes.


Khairy berkata, daripada 58 kes yang dikesan itu sebanyak 54 kes adalah dari jangkitan import dari luar negara dan empat lagi kes merupakan penularan tempatan.


“Sebanyak 39 daripada 54 kes jangkitan import adalah dari kalangan individu yang pulang dari negara Arab Saudi, tujuh kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria, serta Kazakhstan dan Perancis masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.


Sementara itu, empat kes penularan tempatan pula dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang Jemaah umrah yang positif Covid-19 varian Omicron.


“Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember lalu dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember.


"Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember dan mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya.


Secara kesuluruhannya, 117 kes daripada 122 kes positif Covid-19 varian Omicron di Malaysia merupakan jangkitan import dari luar negara manakala lima kes lagi merupakan penularan tempatan.


Tambah Khairy daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes bersamaan 58.2 peratus merupakan Jemaah Umrah.


“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melakukan ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021.


“Hasil ujian mendapati 1,220 (68.8 peratus) sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.


“Daripada 1,220 sampel berkemungkinan varian Omicron ini, 928 (76.1peratus) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.


Berikutan itu, individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.


Kegagalan mematuhi arahan akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19, termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam masyarakat,” katanya.

bottom of page