top of page

SABAH HARAP PROSES SAMPEL UJIAN COVID-19 TERTUNGGAK SELESAI TIGA, EMPAT HARI

  • nabalunews
  • Oct 20, 2020
  • 2 min read

20 OKTOBER 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap proses sampel ujian saringan COVID-19 yang masih tertunggak akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi susulan pelantikan tiga hospital dan makmal swasta bagi membantu menyegerakan proses berkenaan yang diumumkan pada Isnin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata setakat ini masih terdapat sekitar 10,400 sampel ujian saringan COVID-19 di Sabah yang belum diproses, dan keupayaan ketiga-tiga institusi perubatan swasta berkenaan diyakini dapat membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyelesaikannya.


“Saya telah umumkan bahawa kita sudah melantik tiga hospital dan makmal swasta untuk proses ini. Kita mengandaikan kes-kes (sampel) tertunggak akan dapat dibereskan, kerana keupayaan mereka untuk memproses lebih banyak sampel yang telah dihantar.


“Kita berharap sampel atau keputusan tertunggak ini akan dapat diselesaikan dalam tiga hingga empat hari. Jika ini berlaku, bermakna selepas ini kita berharap statistik lebih rendah,” katanya dalam sidang media di Wisma Innoprise di sini malam ini.


Masidi berkata jumlah statistik COVID-19 di Sabah yang diumumkan hari ini sedikit sebanyak disumbang oleh sampel saringan ujian yang tertunggak.


Terdahulu, Masidi berkata berdasarkan laporan JKNS, terdapat 673 kes baharu dicatatkan pada hari ini, dengan terdapat tiga kematian.


Beliau berkata jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 8,755 dan sehingga hari ini, seramai 3,223 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala 5,466 lagi sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah.


Masidi turut mengingatkan rakyat Sabah untuk terus berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dan tidak keluar ke tempat awam sekiranya tiada perkara mustahak.


Badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang tampil memberi bantuan makanan kepada golongan memerlukan juga diingatkan untuk mematuhi SOP khususnya di zon merah bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat selain sebagai usaha memutuskan penularan wabak, katanya.


Dalam pada itu, Masidi berkata kerja-kerja pengagihan bakul makanan daripada kerajaan negeri kepada golongan sasar sedang berjalan lancar dan sehingga kini sebanyak 62,002 bakul makanan telah diagihkan. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page