Sabah konsisten perjuang hak, kepentingan negeri berlandaskan MA63 - Nizam
- nabalunews
- 22 hours ago
- 2 min read

29 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Komitmen itu dijelaskan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam kenyataannya sempena ketibaan Tahun Baharu 2026.
Beliau berkata, perjuangan itu dilaksanakan secara berhemah dan berprinsip demi memastikan hak Sabah terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
"Hubungan yang baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyifatkan tahun 2026 yang bakal tiba Khamis ini sebagai permulaan fasa penting dalam pelaksanaan agenda SMJ 2.0 (2026–2030).
Katanya, agenda SMU 2.0 akan terus memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri, iaitu S sebagai sektor pertumbuhan ekonomi yang menjana hasil negeri merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan, M sebagai pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta J sebagai usaha memperluas jaringan infrastruktur yang lebih baik, mampan dan berteraskan kelestarian hijau.
Selaras dengan agenda itu juga, katanya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memfokus usaha pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi.
"Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan agar golongan belia bukan sekadar penerima peluang, tetapi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merakamkan kesyukuran atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang baru berakhir pada 29 November lalu.
"Mandat ini jelas membuktikan bahawa rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan dan kejayaan yang berterusan.
"GRS di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah diberikan amanah oleh rakyat untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan Sabah.
"Keputusan ini bukan sekadar kemenangan politik, tetapi satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah menginginkan kesinambungan dasar, pentadbiran yang stabil serta kepimpinan yang berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Nizam yang mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah.
"Lantikan ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen untuk bekerja sebaik mungkin bersama pasukan kerajaan negeri, demi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh," katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata menjelang tahun baharu 2026, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri.
"Kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan berjaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat.
"Akhir kata, semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan yang berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya," katanya.


















Comments