Sabah merekodkan 2,430 kes baharu Covid hari ini, 38 kematian

1 September 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 pada hari ini ialah sebanyak 2,430 kes iaitu penurunan sebanyak 164 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 150,273 kes.
Kes kematian hari ini juga meningkat kepada 38 kes, iaitu Sandakan dan Keningau mencatatkan tujuh kes, Kota Kinabalu enam kes, Penampang dan Tawau empat kes manakala Semporna, Pitas, Papar, Kudat, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu terus kekal sebagai daerah dengan kes tertinggi Covid iaitu sebanyak 622 kes, diikuti Sandakan dengan 260 kes, Papar (196 kes), Tawau (190 kes), Tawau (168 kes), Penampang (183 kes), Kinabatangan (165 kes), dan Tuaran (132 kes).
"Daripada jumlah keseluruhan kes, 1,173 kes adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 235 kes adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari dan 214 kes adalah keputusan sample ujian yang didaftar lewat melebihi 5 hari.
"Saringan kontak rapat terus kekal sebagai penyumbang utama kepada kes-kes baharu iaitu sebanyak 1,362 kes adalah daripada saringan kontak rapat.
"Manakala saringan bergejala merekodkan 734 kes, saringan kluster dengan 156 kes, saringan bersasar (empat kes) dan saringan lain-lain kes (174 kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Masidi, seramai 1,732 pesakit adalah daripada Kategori 2, 652 kes daripada Kategori 1, 24 kes daripada Kategori 3, lima kes daripada Kategori 4, 13 kes daripada Kategori 5 serta empat kes masih dalam siasatan lanjut.
Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 2,415 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 117,344 orang.
"Seramai 4,885 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,545 orang di hospital, 3,283 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 51 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala enam orang di fasiliti swasta.
"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 235 orang merangkumi 133 di ICU serta 102 di kubikel akut dan 85 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.
Comments