top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah mesti tegas tuntutan hak perolehan 40% - UPKO



2 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson Angang berkata, kerajaan negeri perlu bersedia membawa isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah ke Mahkamah jika perlu ia diselesaikan secara perundangan.


Beliau berkata, sudah tiba masanya isu itu diputuskan dan diadili oleh Mahkamah berdasarkan perundangan negara jika rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri tidak memberi keadilan sepatutnya kepada Sabah dan tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Jika benar kerajaan Sabah tidak berundur menuntut hak Pemberian Khas kepada Sabah berdasarkan formula 40 peratus, maka para pemimpin negeri mesti tegas meminta agar kerajaan Persekutuan telus mendedahkan jumlah sebenar hasil perolehan yang telah dikutip dari Sabah setiap tahun.


“Tanpanya, Sabah akan sentiasa ‘tempang’ di atas meja rundingan kerana tidak dapat mengetahui nilai sebenar 40 peratus kelayakan kita.


“Sekiranya kerajaan Persekutuan masih bertegas tidak mahu berunding membayar atau menambah bayaran kepada Sabah sejak 1974 berdasarkan formula 40 peratus, maka kerajaan negeri perlu mengambil tindakan serius membawa perkara ini ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Nelson berkata, apa-apa persetujuan yang dicapai perlulah berdasarkan kepada formula 40 peratus tersebut.


“Tafsiran dan pendirian kerajaan Persekutuan bahawa formula 40 peratus tidak lagi terpakai mesti dicabar dari segi perundangan dan berani saya katakan tafsiran tersebut perlu diperbetulkan,” tegasnya.


Beliau berkata, para pemimipin Sabah mempunyai tanggungjawab menyelasaikan secara muktamad perkara ini untuk generasi rakyat Sabah akan datang.


“Bayangkan jika hak Sabah menerima 40 peratus hasil perolehan bersih dihormati, kita mampu merancang dan membangunkan negeri ini tanpa perlu menunggu dan bergantung kepada 'budibicara' atau kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana pembangunan yang lebih banyak setiap tahun," katanya.

bottom of page