Sabah miliki 25 peratus ekuiti dalam PC FSSB
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah miliki 25 peratus ekuiti dalam PC FSSB


26 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah telah memperoleh 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PC FSSB) yang mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata pengambilalihan itu adalah hasil daripada pemeteraian perjanjian muktamad antara SMJ Sdn Bhd (SMJSB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, dan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG).


Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 untuk meningkatkan kerjasama dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah.


"Langkah yang diterjemahkan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah untuk memberi Sabah perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas ini merupakan suatu petanda baik untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.


Hajiji berkata PC FSSB, yang ditubuhkan pada tahun 2011, direka untuk menghasilkan 1.9 juta tan metrik setahun ammonia dan urea.


"Ia adalah loji ammonia dan urea terbesar di Asia Tenggara dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik," katanya.


Beliau juga berkata Sabah telah mencapai kemajuan signifikan melalui syarikat milik penuhnya, Sabah Energy Corporation (SEC) berikutan pemeteraian perjanjian dengan PETRONAS pada Oktober tahun lalu, yang memberikan SEC aset saluran paip gas hiliran terpilih dan kontrak bekalan gas asli.


Perjanjian muktamad itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof masing- masing bagi pihak SMJSB dan PCG.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page