top of page

Sabah pergiat kempen pelancongan domestik kekalkan kestabilan industri

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

28 April 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempergiat kempen pelancongan dalam negara bagi mengekalkan kestabilan industri sekiranya berlaku penurunan ketibaan pelancong antarabangsa susulan konflik global.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin berkata, sektor pelancongan Sabah amat bergantung kepada ketibaan pelancong antarabangsa sekali gus menjadikannya lebih terdedah kepada ketidaktentuan global.


Sehubungan itu, katanya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang merancang pelaksanaan sokongan dan insentif bersasar bagi mengekalkan permintaan dan ketersambungan udara ke Sabah sepanjang tempoh mencabar ini.


“Selain itu, usaha turut ditumpukan kepada peningkatan ketibaan pelancong dari Asia Utara dan Asia Tenggara termasuk China, Korea Selatan, Jepun serta negara jiran yang kurang terjejas oleh gangguan ruang udara global.


“Bagi mengimbangi peningkatan kos perjalanan, Sabah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium untuk menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai daya perbelanjaan lebih tinggi dan kurang terkesan oleh kenaikan kos,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Justin Wong (Warisan-Sri Tanjong) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.


Menurut Jafry, kementerian melalui STB telah mengadakan sesi libat urus dengan persatuan pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha penginapan pada 19 dan 31 Mac lalu bagi mendapatkan maklum balas serta menyelaras strategi meningkatkan daya tahan industri.


“Satu sesi libat urus khas turut diadakan pada 24 April bagi menangani isu bekalan diesel yang dihadapi pengusaha pelancongan.


“Kementerian kekal komited memastikan industri pelancongan tempatan terus berdaya tahan dan mampan, di samping menyokong pemain industri untuk terus beroperasi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page