Sabah perkenal RAER 2025-2030 pacu ekonomi luar bandar, sekuriti makanan
- nabalunews
- Apr 23
- 1 min read

23 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025-2030 sebagai langkah strategik memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan selaras dengan usaha meningkatkan keterjaminan makanan melalui pemodenan sektor pertanian.
"Tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi serta pembangunan bioteknologi untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran.

“Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan varieti baharu serta bahan tanaman berkualiti tinggi akan terus dipergiat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17, di sini hari ini.
Menurut Tun Musa, antara program baharu di bawah RAER ialah Program Kebun Dapur yang bertujuan menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kediaman.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memupuk budaya pertanian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Tun Musa berkata, ekosistem industri ternakan negeri juga akan terus diperkasa berlandaskan Dasar AgroMakanan Negara 2.0 dan Pelan Strategik Organisasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah 2026-2030.
“Tumpuan diberikan terhadap peningkatan kadar sara diri (SSR) ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan di seluruh negeri,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi keutamaan kepada sektor perikanan berteraskan ekonomi biru termasuk penambahan kemudahan jeti di Kompleks Perikanan SAFMA bagi menampung peningkatan lebih 20 peratus hasil pendaratan ikan.
“Pelbagai program pembangunan dan sokongan termasuk pemerkasaan fasiliti jabatan, pengukuhan industri hiliran serta aktiviti konservasi akan dilaksanakan bagi menjamin pengeluaran hasil perikanan yang mampan,” katanya.















Comments