Sabah Perlu Bertegas Tuntut Hak Sabah – Donald P Mojuntin
- nabalunews
- 19 hours ago
- 2 min read

15 Disember 2025
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menegaskan Sabah perlu bertegas dalam menuntut hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam perbahasannya, Donald berkata, dua perkara utama yang disentuh akan membawa implikasi amat besar kepada kedaulatan ekonomi, hak perlembagaan dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
Katanya, isu pertama adalah mengenai wakil Sabah dalam barisan Lembaga Pengarah PETRONAS selaras dengan kedudukan negeri itu sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia yang sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.
“PETRONAS bukan syarikat biasa kerana syarikat itu adalah pemegang amanah tunggal petroleum negara yang merupakan entiti yang mengurus sumber minyak dan gas yang terletak di luar pesisir dan di wilayah Sabah.
“Ia juga merupakan instrumen fiskal paling berkuasa dalam Persekutuan Malaysia. Sabah adalah rakan pengasas Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sumber petroleum di wilayah Sabah merupakan aset strategik wilayah dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan pada sidang Dewan Undangan Sabah, di sini, hari ini.
Donald berkata, Sabah langsung tidak diwakili dalam Lembaga Pengarah PETRONAS, walaupun hasil petroleum dari wilayah Sabah menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara dan ia adalah ketidakseimbangan struktur kuasa yang nyata.
Selain itu, isu kedua yang dituntut adalah penegasan agar Kerajaan Persekutuan tidak lagi melengahkan agenda pelaksanaan MA63 yang dirayu dan seakan-akan tanggungjawab yang cuba dielakkan.
Katanya, Sabah tidak meminta sedekah dan Sabah hanya menuntut hak perlembagaannya kerana ia bukan angka politik, sebaliknya liabiliti perlembagaan.
“Maka Dewan ini mesti berdiri teguh mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi dan memastikan Sabah lengkap dengan pasukan setaraf untuk mempertahankan haknya.
“Sebagai wakil-wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing dan mewakili Sabah, setiap keputusan, setiap tindakan, setiap langkah kita mestilah mengutamakan Sabah (Sabah First),” tegasnya.


















Comments