Sabah perlu peruntukan lebih besar: ChristinaSabah perlu peruntukan lebih besar: Christina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah perlu peruntukan lebih besar: Christina



7 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api Datuk Christina Liew berkata, Sabah memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan persekutuan.


Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula peruntukan bagi Sabah di bawah Bajet Negara 2022.


Beliau berkta, peruntukan yang diberikan kepada Sabah hanya sebahagian kecil daripada bajet keseluruhan untuk negara dan tidak mampu menampung pelbagai keperluan negeri dalam bidang pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan serta sektor-sektor lain.


“Menurut Jabatan Perangkaan, Sabah merekodkan kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 25.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 19.5 peratus pada tahun 2019,” katanya ketika membahas Bajet Negeri 2022, semasa persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.


Christina berkata, kerajaan negeri memerlukan peruntukan yang besar untuk menyelesaikan pelbagai masalah termasuk projek-projek mitigasi banjir, memulihkan tanah runtuh dan menambahbaik sistem pengaliran di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang terdedah kepada banjir serta kawasan sekitar termasuk Likas, Kolombong, Inanam, Telipok, Menggatal dan Sepanggar.


“Sabah memerlukan dana tambahan untuk memperbaiki atau membina semula jalanraya dan jambatan yang rosak akibat bencana alam dan membina loji rawatan air untuk menyelesaikan masalah bekalan air.


“Sebab itu saya menggesa pihak Kerajaan Negeri merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan negeri ini peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bajet keseluruhan berjumlah RM332 bilion bagi tahun 2022,” katanya.


Mengenai sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu Christina turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi atau cabang pelaburan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk memperjuangkan suatu model niaga baru bagi sistem pengangkutan awam di bandaraya Kota Kinabalu.


“Sudah beberapa dekad, kita sering menyebut tentang merombak sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada langkah-langkah mengatasi kesesakan lalu lintas. Tetapi malangnya, sehingga kini ia belum lagi menjadi kenyataan,” katanya.


Beliau berkata bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu banyak cadangan telah dikemukakan sejak Kota Kinabalu menjadi Bandaraya pada 2000.


Katanya walaupun kerajaan silih berganti namun masalah berpanjangan kesesakan lalu lintas di bandaraya masih belum diselesaikan.


“Saya percaya sudah tiba masanya untuk mengadakan semakan pantas ke atas pelbagai sistem yang pernah dicadangkan sebelum ini dan menghapuskan mana-mana sistem yang dianggap tidak mampan.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page