top of page
nabalunews

Sabah perlu tindakan tegas tangani pencemaran plastik


 



26 November 2024

 

KOTA KINABALU: Peningkatan pencemaran plastik di Sabah memberi impak buruk kepada statusnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan mengancam kesejahteraan ekosistem serta masyarakat.

 

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menegaskan, usaha bersepadu termasuk pengukuhan undang-undang dan dasar berkaitan perlu segera dilaksanakan untuk menangani masalah tersebut secara berkesan. 

 

"Pencemaran plastik mengancam alam sekitar dan memberi kesan mendalam kepada setiap aspek kehidupan termasuk kesihatan ekosistem dan kesejahteraan masyarakat," katanya ketika merasmikan Simposium No Plastic in Nature di sini pada Isnin, lapor Bernama.

 

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, banyak kawasan di Sabah, termasuk Gunung Kinabalu, yang dahulunya bersih kini tercemar dengan sisa plastik. 

 

"Di lautan, plastik terapung dan menyelaputi terumbu karang manakala pantai serta pulau-pulau kita dipenuhi plastik," ujarnya. 

 

Beliau menegaskan, penyelesaian terhadap isu pencemaran plastik memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, dan pihak berkepentingan lain. 

 

"Kebimbangan terhadap peningkatan pencemaran plastik bukan sahaja menjadi isu global tetapi turut memberi kesan serius di negeri Sabah," tambahnya lagi. 

Comments


bottom of page