top of page

SABAH REKOD KES COVID-19 TERTINGGI DI MALAYSIA DALAM 24 JAM

  • nabalunews
  • Oct 24, 2020
  • 1 min read

24 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi, 889 kes atau 72.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,228 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di seluruh negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah jumlah tertinggi dicatat oleh negeri Sabah setakat ini.

“Meskipun jumlah ini tinggi, buat masa ini masih terdapat kapasiti katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menampung jumlah kes positif.

“Ini juga adalah hasil usaha gigih dalam menjalankan pengesanan kes secara aktif di Sabah,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan 889 kes baharu di Sabah, 500 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Mesra dan Kluster Mega, 253 kes lagi daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 136 kes adalah daripada saringan Covid-19.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sehingga 24 Oktober (hari ini) jam 12:00 tengah hari, sebanyak 1,228 kes baharu dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 25,742 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 8,966 kes,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page