Sabah rekod penurunan kes Covid-19 di bawah paras 200 hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah rekod penurunan kes Covid-19 di bawah paras 200 hari ini


28 March 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu di bawah paras 200 kes buat pertama kalinya sejak 24 Januari 2022, iaitu sebanyak 194 kes, penyusutan sebanyak 51 kes berbanding semalam.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 366,631 kes.


Sementara itu, tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini


“Kota Kinabalu yang mencatatkan pertambahan 61 kes semalam susut 42 kes hari ini dengan hanya 55 jangkitan baharu.


“Jumlah kes baharu yang lebih rendah di Kota Kinabalu antara faktor utama yang menyumbang kepada jumlah kes yang lebih rendah bagi Sabah hari ini.


“Lima daerah mencatatkan kes dua angka iaitu Kota Kinabalu 55 kes, Tuaran 26 kes, Papar 18 kes, Sandakan 11 kes dan Tawau 10 kes. Sebanyak 18 daerah pula mencatatkan jumlah kes baharu satu angka,” kata Masidi.


Tambah beliau, daerah Semporna, Nabawan, Tongod dan Kalabakan tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu hari ini.


Dalam pada itu, tiga kluster diisytiharkan tamat oleh JKNS hari ini, iaitu Kluster Pengkalan Abai (Kota Belud), Kluster Jalan Beluran Lama (Beluran) dan Kluster Batu Enam (Kota Belud). Hanya tinggal empat kluster yang masih aktif di Sabah.


“Seramai 187 orang atau 96.39 peratus daripada 194 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat tiga orang berada dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan satu pesakit dalam Kategori 5,” katanya.

bottom of page