Sabah sasar RM4 bilion pendapatan pelancongan pada 2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah sasar RM4 bilion pendapatan pelancongan pada 2023


25 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap untuk menjana pendapatan sebanyak RM4 bilion daripada sektor pelancongan pada tahun 2023 dengan menarik 2.2 juta pelancong domestik dan antarabangsa.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Christina Liew berkata, ini adalah berdasarkan statistik ketibaan pelancong yang menunjukkan peningkatan yang positif pada tahun 2022.


Jelas beliau, pihaknya optimis dengan pemulihan rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa ke Sabah yang mampu merancakkan lagi industri pelancongan negeri.


“Setakat bulan Febuari tahun ini, ketibaan pelancong ke Sabah berjumlah 366,988 orang berbanding tahun lalu iaitu seramai 200,027 orang dalam tempoh yang sama. Penerbangan domestik pula mencatat 396 seminggu, manakala penerbangan antarabangsa sebanyak 93 seminggu,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 Penggal Keempat di sini, semalam.


Christina juga menyatakan bahawa KePKAS komited akan memperluaskan lagi hubungan kerjasama dengan syarikat penerbangan di negara berpotensi pada tahun ini seperti Australia dan negara Timur Tengah.


Selain itu, beliau berkata, KePKAS turut memberi keutamaan kepada kelestarian pengurusan alam sekitar secara mampan, pemeliharaan serta pemuliharaan khazanah alam semula jadi.


“Ia adalah inisiatif bagi mengimbangi keperluan ekonomi masyarakat disamping memastikan pembangunan negeri tidak mengorbankan kepelbagaian biologi, alam sekitar dan budaya masyarakat. Pelbagai program dan aktiviti sama ada di peringkat akademik mahupun profesional telah dilaksanakan seiring dengan pengurusan alam sekitar yang teratur, terancang dan bersepadu,” tambahnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page