Sabah terima penambahan kuota rumah PPRT tahun ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah terima penambahan kuota rumah PPRT tahun ini


(Dari kiri) Harun, Jahid dan Samad Jambri.

23 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mendapat pertambahan kuota pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk bina baharu dan baikpulih tahun ini.


Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Harun Durabi berkata, pada tahun ini Sabah menerima 700 unit rumah PPRT Bina Baharu daripada KPLB Persekutuan.


“Manakala untuk program rumah PPRT BaikPulih pula, negeri Sabah akan menerima kuota sebanyak 2,900 unit rumah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) yang bertanya apakah status terkini rumah PPRT negeri Sabah dan adakah terdapat penambahan kuota bagi rumah PPRT.


Harun berkata, bagi agihan rumah PPRT Bina Baharu untuk tahun 2022, kementerian akan meneliti kaedah agihan tersebut berdasarkan keperluan untuk setiap DUN atau daerah termasuk daerah Kota Belud.


Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Adun Liawan Datuk Annuar Datuk Ayub yang bertanya sama ada kos pembinaan rumah PPRT dinaikkan disebabkan kos bahan binaan telah meningkat, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada KPLB Persekutuan.


“Tidak dinafikan bahawa harga material meningkat dan kita telah mengangkat perkara ini kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan untuk dikaji harga itu, kerana fakta telah menyatakan dengan jelas, harga (bahan binaan) memang sudah meningkat.


“Mutakhir daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, saya difahamkan harga itu sedang diputuskan di peringkat kabinet. Kita akan maklumkan kepada pihak Wakil-Wakil Rakyat tentang perkembangan seterusnya apabila diketahui nilai yang diputuskan nanti,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page