top of page

Sabah Tonjol Peranan ASEAN Dalam Biotek dan Bioteknologi

  • nabalunews
  • Sep 11
  • 2 min read

ree

11 Sept 2025


KOTA KINABALU: Kejayaan penganjuran Seminar Bioetik ASEAN 2025 disifatkan sebagai hasil kerjasama erat antara universiti, institusi penyelidikan, industri, kerajaan negeri dan rakan serantau dalam memperkukuh ekosistem bioetik serta bioteknologi ASEAN.


Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Norsham Abdul Latip berkata, seminar dua hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu bukan sahaja menyaksikan perbincangan bernas, tetapi juga pertukaran pandangan yang membuka peluang kepada inovasi baharu berasaskan etika dan kelestarian.


"Penyertaan 14 pempamer daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk universiti dan industri membuktikan kesediaan semua pihak untuk berkongsi kepakaran, membina jaringan baharu serta meneroka peluang inovasi dalam ekosistem bioetik dan bioteknologi ASEAN," katanya ketika menyampaikan ucapan penghargaan pada Majlis Makan Malam Sempena ASEAN Bioethics Seminar 2025 - "Navigating Bioethical Frontiers: Sustainability And Resilient In ASEAN" di SICC pada Selasa.


Jelas Norsham, antara pempamer yang mengambil bahagian termasuk Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Pusat Sumber Transplan Sabah, South East Asian Bioethics Network (SEABioN), European Wellness Premier Center, SabahCare Fertility and Specialist Centre, CryoCord Sabah, Inno Therapeutics serta Hospital Pakar KPJ Sabah.


Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dalam ucapan aluanya menegaskan bahawa prinsip bioetik perlu diberi penekanan dalam setiap kemajuan sains dan teknologi supaya tidak mengabaikan nilai kemanusiaan, kelestarian dan hak asasi.


"Kerjasama serantau seperti ini amat penting untuk memastikan pembangunan sains dan bioteknologi bergerak secara inklusif dan beretika," katanya.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Hasil Bumi Sabah, Datuk Sernam Singh.


Jelas Safar, Sabah yang kaya dengan biodiversiti dan kepelbagaian budaya amat menyedari keperluan membangunkan sains serta inovasi secara bertanggungjawab dan beretika, selaras dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melalui MOSTI.


"Kita percaya bahawa perbincangan dan jaringan kerjasama ini akan mencetuskan inovasi bioteknologi berimpak tinggi yang berpaksikan nilai bioetik, sekali gus membina masa depan lebih mampan untuk rantau ini," tambahnya.


Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Hassan Mahali; Pengarah Sabah Biodiversity Centre, Ken Kartina Khamis; Pengarah Pengurusan Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) Prof. Datuk Dr Raha Abdul Rahim serta Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof. Dr Fiffy Hasnidah Saikim.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page