Sabah wajar iktiraf UEC seperti Sarawak – Marcus
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

24 November 2025
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh, menggesa kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), seiring pengiktirafannya di peringkat antarabangsa.
Dr Marcus menegaskan UEC adalah kelayakan yang diiktiraf di peringkat global dan perlu diberi pertimbangan sewajarnya, khususnya dalam membenarkan pemegang sijil berkenaan mendaftar di universiti tempatan.
“Kami mahu kerajaan Sabah mengiktiraf pemegang UEC di Sabah, sama seperti (Perdana Sarawak) Abang Jo (Abang Johari Tun Openg) telah lakukan di Sarawak,” katanya menurut The Borneo Post.
Jelas Dr Marcus, sepanjang perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Putatan dari Mac 2004 hingga Mei 2018, beliau secara konsisten menyokong pengiktirafan UEC serta kekal tegas dan lantang membahaskan isu itu di Parlimen.
Beliau menegaskan masyarakat Cina merupakan sebahagian daripada fabrik budaya Sabah dan tidak boleh dianggap sebagai “pendatang” seperti sesetengah naratif yang dilihat di Semenanjung Malaysia.
"Masyarakat Cina sangat terjalin dalam budaya dan masyarakat Sabah, sama seperti di Sarawak. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat asal Sabah," katanya.
Pada masa sama, Dr Marcus turut mengesyorkan agar beberapa sekolah di Sabah dijadikan sekolah bahasa Inggeris, dengan SM La Salle di Tanjung Aru disifatkan sebagai model paling sesuai.
Cadangan beliau juga termasuk mewujudkan dua atau tiga sekolah bahasa Inggeris di Kota Kinabalu, dua di Sandakan, serta sekurang-kurangnya satu di setiap daerah.
Dr Marcus menegaskan pengukuhan pendidikan bahasa Inggeris di Sabah merupakan langkah penting dalam memperkasakan daya saing pelajar seiring kedudukan bahasa tersebut di peringkat global.


















Comments