Saintis UMS Temui Spesies Kulat ‘Bertanduk’ Pertama Di Dunia
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

12 April 2026
KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah dalam dunia sains apabila berjaya menemui spesies kulat baharu yang menyerupai tanduk di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley, Lahad Datu, baru-baru ini.
Pasukan penyelidik dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS itu diketuai oleh Profesor Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan.
Beliau dibantu oleh dua pelajar pascasiswazah di bawah seliaannya, iaitu Muhammad Shahbaz (pelajar PhD) dan Firdza Zulkarnain Mohadden (pelajar Sarjana).

Turut terlibat ialah citizen scientist, Elyse Yang, yang merupakan individu yang menemui spesies baharu ini bersama-sama mereka semasa di Kawasan Infapro, Danum Valley.
Kajian ini turut mendapat kerjasama pakar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dibarisi oleh Dr. Yap Jing Wei serta Jeremiah Sia Yiao Rong (Pelajar PhD).
Spesies yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata itu disahkan sebagai penemuan pertama seumpamanya di dunia menerusi penerbitan dalam jurnal taksonomi antarabangsa, Phytotaxa, semalam.
Penemuan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat biodiversiti global yang masih menyimpan pelbagai rahsia alam yang belum terungkai.
Ketua Penyelidik, Dr. Jaya Seelan berkata, spesies baharu ini mempunyai keunikan pada struktur fizikalnya yang menyerupai tanduk, membezakannya daripada 26 spesies lain dalam genus Pleurocordyceps yang sebelum ini hanya ditemui di China, Thailand, dan Jepun.
“Selain penemuan spesies baharu dunia ini, pasukan kami turut merekodkan dua lagi spesies kulat iaitu Pleurocordyceps aurantiaca dan Pleurocordyceps nipponica yang merupakan rekod pertama kali dijumpai di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kejayaan tersebut adalah manifestasi komitmen universiti dalam merealisasikan gagasan ‘The Brain of Borneo’ bagi memartabatkan khazanah semula jadi negeri ke peringkat global.
“Ia membuktikan saintis tempatan kita mempunyai kepakaran tinggi untuk menerajui penyelidikan berimpak tinggi yang mampu menarik perhatian komuniti sains antarabangsa,” katanya.
Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim pula menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil pembangunan kapasiti penyelidik muda yang membuktikan hutan hujan tropika Sabah masih mempunyai banyak spesies yang belum diterokai sepenuhnya.
Kajian berkenaan mendapat sokongan geran penyelidikan UMSGREAT serta kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah melalui Projek RMK12, manakala spesimen unik itu kini disimpan di pusat simpanan BORNEENSIS, IBTP UMS untuk rujukan saintifik masa hadapan.















Comments