Sambutan Aidilfitri eratkan hubungan rakyat pelbagai latar belakang - Joachim
- Wartawan Nabalu News
- May 12, 2023
- 1 min read

12 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Sambutan Aidilfitri yang diadakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menjadi simbol keharmonian dan muhibah di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, sambutan Aidilfitri bukan sahaja bermakna kepada umat Islam tetapi juga kepada bukan Islam kerana ia memberi peluang untuk berkongsi keceriaan dan saling bermaafan.
“Manfaatkan peluang ini untuk kunjung mengunjungi di antara satu sama lain sebagai tanda hormat menghormati dan saling bermaafan. Saya yakin amalan ini akan memberikan impak yang besar untuk keharmonian negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Perbandaran Sandakan yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan pada Khamis.
Dr. Joachim juga menegaskan bahawa kerjasama secara berpasukan adalah kunci utama untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang tidak kira pangkat, bangsa dan agama.
“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia saling bergantung dari segi kepakaran, keupayaan, kemahiran dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew; Presiden MPS, Henry Idol serta seluruh kakitangan MPS.
Σχόλια