Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Kampung Pangi Meriah dan Berwarna-Warni
- nabalunews
- Sep 2
- 1 min read

1 September 2025
KOTA BELUD: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 peringkat Kampung Pangi, Kelawat di sini berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat melibatkan semua peringkat usia.
Majlis penuh semangat patriotik itu disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Unit PPM Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Saikom Watis, yang hadir mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapannya, Saikom menegaskan bahawa penganjuran sambutan ini bukan sahaja mampu menyemarakkan semangat cinta kepada tanah air, malah menjadi landasan untuk memperkukuh perpaduan masyarakat kampung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan usaha menganjurkan program bermakna yang berjaya menggalakkan penglibatan aktif seluruh komuniti.

Antara acara yang memeriahkan sambutan ialah pertandingan pakaian kemerdekaan lelaki bawah 12 tahun, pertandingan sugandoi kanak-kanak, anugerah pasangan berpakaian sedondon, pertandingan masakan tradisional serta pertandingan ratu cantik kanak-kanak. Turut mencuri perhatian ialah cabutan tiket bertuah yang sentiasa dinanti-nantikan pengunjung.
Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku”, lagu rasmi negeri “Sabah Tanah Airku”, serta lagu patriotik “Tanggal 31 Ogos” yang bergema melalui nyanyian beramai-ramai.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Saloma Gindara, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu semua pihak yang memastikan kelancaran sambutan kali ini.


















Comments