Sambutan Kaamatan Eko Pelancongan Liogu Ku Silou Silou meriah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sambutan Kaamatan Eko Pelancongan Liogu Ku Silou Silou meriah


Carlye (tiga dari kiri) bersama mengadili pertandingan keceriaan kawasan.

8 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Sambutan pesta kaamatan Eko Pelancongan Liogu Ku Silou-Silou Kg. Koung Malaan diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan pelbagai persembahan menarik.


Antaranya pertandingan mangagung, makanan tradisional, ratu kanak-kanak, ratu ibu dan pertandingan keceriaan pondok pelancongan kawasan itu.


Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Carlye Lajimin mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Carlye (dua kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Eko Pelancongan Silou-Silou Kipol Surag, turut kelihatan Stepanie.

Carlye berkata, penganjuran pesta Kaamatan di peringkat kampung juga penting bagi menyemarakkan lagi semangat Kaamatan dan memastikan kebudayaan masyarakat Kadazandusun itu tidak hilang ditelan zaman.


“Acara-acara kebudayaan termasuk pertandingan mangagung bertepatan dengan usaha menggalakkan generasi muda mempelajari muzik tradisional.


“Saya berharap acara ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan di kawasan Eko Pelancongan bagi memberi peluang kepada para pengunjung dalam dan luar negeri merasai kemeriahan sambutan Kaamatan di peringkat kampung,” katanya.


Carlye turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang terdiri daripada golongan muda atas kejayaan menganjurkan acara ini.



“Pada tahun 2019, Pesta Kaamatan di sini diadakan di pondok-pondok pelancongan yang dibina hasil pungutan ahli eko pelancongan Silou-Silou tetapi pada tahun ini kita mengadakan sambutan ini dalam Dewan Terbuka hasil usaha YB Datuk Ewon pada penghujung 2019. Terima kasih kepada wakil rakyat kita yang begitu prihatin terhadap keperluan rakyat Kadamaian,” katanya.


Sementara itu Pengerusi Penganjur sambutan itu Stepanie Musa berkata, ia merupakan salah satu program tahunan komuniti Eko Pelancongan Liogu Ku Silou-Silou (EPLISSI) untuk mengukuhkan kesatuan dan kerjasama di kalangan ahli komuniti EPLISSI dan penduduk kampung secara keseluruhannya.


“Sambutan kaamatan ini bertujuan mempromosi budaya dan adat resam kaum KDMR di kalangan pengunjung EPLISSI.



“Oleh itu, sejak penganjuran pertama, kami membuka pagar utama EPLISSI secara percuma kepada semua pengunjung bagi memberi peluang kepada mereka merasai kemeriahan sambutan Kaamatan di kawasan kampung,” katanya.


Katanya lagi, sambutan itu juga menjadi platform menyarakkan semangat cintakan budaya dan adat resam masyarakat Kadazandusun dikalangan generasi muda melalui penglibatan mereka dalam acara-acara kebudayaan sepanjang majlis itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page