Sambutan Kaamatan & Karnival Bahasa Kadazan Dusun SK Kaung Meriahkan Perpaduan Komuniti
- nabalunews
- May 2
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News : Kidd
2 Mei 2026
KOTA BELUD: Sambutan Kaamatan dan Karnival Bahasa Kadazan Dusun (BKD) peringkat Sekolah Kebangsaan Kaung telah berlangsung dengan penuh meriah selama dua hari bermula 29 hingga 30 April 2026 di Dewan Terbuka Kampung Kaung, Ulu Kota Belud.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini mengangkat tema “Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piunungan” yang membawa maksud menuai perpaduan dan meraikan keharmonian dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang karnival termasuk pertandingan Kolumison Basaan Murid, Sugandoi PIBG, pertandingan meneka tajuk lirik lagu atau sambung lagu, serta aktiviti “Gores dan Menang” yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung. Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Danius Yangkat, diikuti ucapan Guru Besar, Noerasdarinar binti Saidil yang menekankan kepentingan memelihara bahasa dan budaya Kadazan Dusun dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan Menagon oleh murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2 yang mempamerkan bakat serta keyakinan mereka di pentas.
Acara kemuncak menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Karnival Bahasa Kadazan Dusun (BKD) serta pertandingan Sugandoi dalam kalangan ibu bapa. Persembahan khas oleh juara Sugandoi turut menceriakan suasana dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi kategori pakaian tradisional terbaik dalam kalangan ibu bapa, sekali gus menyerlahkan keunikan dan keindahan warisan budaya.
Program ini jelas berjaya mencapai objektifnya dalam menyatukan komuniti melalui bahasa dan budaya, selaras dengan semangat “Bersatu dalam budaya, berkarya dalam bahasa.”















Comments