Sambutan Pesta Kaamatan Kg. Melangkap Tomis Meriah Dengan Pelbagai Pengisian Tradisi
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
29 Mei 2026
KOTA BELUD: Sambutan Pesta Kaamatan di Kampung Melangkap Tomis berlangsung meriah dan penuh semangat perpaduan apabila pelbagai aktiviti kebudayaan serta pertandingan tradisional berjaya menarik penyertaan penduduk kampung dan komuniti sekitar.
Program yang bermula pada jam 3.45 petang hingga 9.30 malam itu dirasmikan oleh Hadlee Panchai, Pemaju Mukim daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, mewakili Timbalan Ketua Menteri III merangkap ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapannya, Hadlee Panchai menyampaikan salam dan penghargaan daripada Datuk Ewon Benedick kepada seluruh penduduk Kampung Melangkap Tomis atas komitmen mereka dalam memelihara warisan budaya serta adat tradisi masyarakat Kadazan-Dusun.

Beliau berkata sambutan Kaamatan bukan sahaja merupakan lambang kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah ia juga platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Sepanjang program, pelbagai pengisian menarik dipersembahkan termasuk tarian kanak-kanak, pertandingan masakan tradisi, pertandingan Monogkungon, persembahan Sugandoi kanak-kanak, pertandingan RTK kanak-kanak serta sukan tradisional yang menyerikan suasana.
Selain itu, pertandingan Dazanak turut menerima sambutan menggalakkan daripada peserta yang menunjukkan bakat dan kreativiti dalam memperagakan busana serta identiti budaya tempatan.
Majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah, antara aktiviti yang paling dinantikan pengunjung.
Penganjuran program itu dilihat berjaya menyatukan komuniti setempat sambil memupuk penghargaan generasi muda terhadap adat dan budaya warisan nenek moyang agar terus dipelihara untuk masa hadapan.















Comments